JOHOR BAHRU: Tiga remaja lelaki masing-masing berusia 14 tahun bukan sahaja diculik, tetapi turut dipukul dan dirakam berbogel dalam satu kejadian di daerah ini, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, perkara tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 8 malam.
Menurut beliau, ketiga-tiga remaja lelaki berkenaan diculik kira-kira 10 lelaki dengan menaiki tiga kenderaan sebelum dibawa ke sebuah lokasi tidak diketahui.
“Salah seorang daripada suspek dikenali ketiga-tiga mangsa. Suspek kemudian bertindak memukul mangsa dan merakam gambar bogel mereka serta mengugut akan menularkan gambar berkenaan sekiranya kejadian tersebut terbongkar.
“Suspek kemudian telah melarikan diri bersama barangan peribadi milik mangsa, manakala kesemua mangsa ditinggalkan di lokasi berkenaan.
“Mangsa yang cedera lebam di bahagian muka dan tangan telah diselamatkan orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum kesemuanya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin
Sehubungan itu, empat suspek berusia antara 15 hingga 20 tahun berjaya ditahan polis di sekitar Skudai, di sini.
“Polis turut berjaya merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, selain turut menentukan semula barangan milik mangsa.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363, 324 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah Balveer Singh, pihaknya sedang mengesan suspek lain yang masih bebas, sementara motif kejadian masih dalam siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-6062618,” jelasnya.


































