Tangkap layar kejadian tular kemalangan sebuah kereta dengan dua ekor lembu yang terlepas dan melarikan ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Paradigm Mall menghala Puchong Ahad.
PETALING JAYA: Polis mengesahkan kejadian tular kemalangan sebuah kereta dengan dua ekor lembu yang terlepas dan melarikan ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Paradigm Mall menghala Puchong Ahad.
Dalam kejadian 5.30 petang itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan satu video tular di aplikasi media sosial Facebook yang dimuat naik pemilik akaun Mohd. Nooramin memaparkan dua ekor lembu yang terlepas di LDP sehingga menyebabkan kemalangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lembu itu korban tersebut terlepas dari kawasan surau berhampiran sebelum masuk ke LDP berhampiran Paradigm Mall.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati bahawa insiden itu menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
“Bagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit.
“Polis memohon perakam insiden untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya dan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut rule 33(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam serta memohon semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya.


































