JEMPOL: Pasangan duda dan janda yang berada berdua-duan dalam sebuah kereta ditahan polis kerana melarikan diri ketika cuba diperiksa di Pekan Bahau di sini malam kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan ternampak sebuah kereta di bahu jalan di hadapan sebuah bank dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, polis telah menyalakan lampu beacon kenderaan pasukan dan keluar dari kenderaan memperkenalkan diri kepada pasangan berkenaan.
“Namun, ketika anggota polis mahu membuat pemeriksaan dan meminta kad pengenalan, lelaki dalam kereta terus mengundurkan kenderaan dan melarikan diri selain cuba menghimpit kenderaan pasukan.
“Pasangan itu berjaya ditangkap selepas dikejar sehingga jalan mati di Jalan Datuk Thong Hiang Kim iaitu kira-kira satu kilometer,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Kata Chang Hook lagi, siasatan awal duda berkenaan bekerja sebagai pemandu kereta madrasah manakala wanita bersamanya bekerja sebagai pengutip derma.
Menurut beliau, punca mereka melarikan diri kerana berasa takut kerana kedua-duanya mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.
“Ujian air kencing kedua-dua yang ditahan negatif dadah. Semakan mendapati duda itu mempunyai empat rekod jenayah manakala janda itu pula mempunyai 19 rekod lampau iaitu tiga rekod jenayah dan 16 dadah. Mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
































