Pemenang Anugerah Emas (dari kiri) Margarcesybell, Shymelysney, Muhd. Roufieq, Romena, Siti Rafbiyatul dan Susanna menjuarai kategori Environmental Science menerusi ciptaan EcoBright Solar Lamps (ESL).
KOTA KINABALU: SMK Pamol yang merupakan sebuah sekolah pedalaman Sabah berjaya meraih tiga anugerah iaitu Anugerah Emas, Anugerah Perak dan satu Anugerah Khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
SMK Pamol yang terletak di daerah pedalaman Beluran berjaya mengharumkan nama pada Pertandingan International Innovation, Invention & Technology Exhibition (ITEX) bersempena World Young Inventors Exhibition 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tiga anugerah tersebut diraih menerusi dua produk inovasi iaitu EcoBright Solar Lamps (ESL) yang memenangi Anugerah Emas di bawah kategori Environmental Science dan Dragon Fruit Skin Flour Technology (D2F-Techno) yang memenangi Anugerah Perak di bawah kategori Food and Biotechnology Science, selain Anugerah Khas dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Produk inovasi EcoBright Solar Lamps (ESL) ialah sejenis lampu yang dihasilkan dengan mengitar semula botol plastik terbuang dan penggunaan tenaga solar untuk membekalkan tenaga elektrik. Objektif ciptaan ESL ini ialah untuk membantu menyelesaikan masalah di kawasan pedalaman yang menghadapi masalah bekalan tenaga elektrik. Di samping itu ianya juga dapat meminimumkan masalah pemanasan global di Malaysia dengan penggunaan tenaga solar.
ESL yang dihasilkan oleh lima orang pelajar iaitu Margarcesybell Safrese, Shymelysney Mooney, Susanna Qwek San San, Siti Rafbiyatul Adawiyah Binti Josmin dan Muhammad Roufieq Romena Bin Nasir telah meletakkan hasil produk mereka di tiga lokasi iaitu di Jambatan Utama Kampung Pamol, pagar utama sekolah dan gerbang utama sekolah sebagai dekorasi yang sangat cantik.
Manakala produk inovasi Dragon Fruit Skin Flour Technology (D2F- Techno) pula merupakan inovasi perprosesan kulit Buah Naga menjadi tepung bagi menggantikan tepung harian biasa. D2F- Techno merupakan salah satu pengganti sumber nutrisi karbohidrat yang kaya dengan fiber dan bebas gluten. Produk D2F-Techno ini dipercayai salah satu alternatif pengganti tepung harian biasa yang dapat mengurangkan masalah kesihatan.
Objektif penghasilan D2F-Techno ialah untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal melalui pembuangan kulit buah naga, untuk menggalakkan konsep kitar semula di kalangan komuniti dan mengurangkan pengambilan karbohidrat secara berlebihan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Pemenang Anugerah Perak (dari kiri) Leo, Charlotte, Noor Shamimi, Cikgu Siti Noraini Mislihan, Samantha dan Lisdniela muncul naib johan kategori Food and Biotechnology Science menerusi produk inovasi Dragon Fruit Skin Flour Technology (D2F-Techno).
Produk D2F-Techno ini dihasilkan oleh lima orang pelajar iaitu Noor Shamimi Shafiqah Binti Bastiansha, Samantha Qwek Yen Yen, Lisdaniela Darius, Charlotte Sulong Richard dan Leo Eusebio Vencent.
Objektif utama sekolah menyertai pertandingan ini ialah untuk menarik minat anak-anak muda khususnya di kawasan pedalaman untuk menceburkan diri dalam teknologi inovasi di samping dapat membuktikan kebolehan dan mengangkat nama Malaysia amnya dan Sabah khususnya di dalam bidang inovasi sekaligus dapat membantu membangunkan sains dan teknologi negara.
Kejayaan tersebut adalah hasil bimbingan daripada Cikgu Faris Mohamad, Cikgu Siti Noraini Mislihan, Ustazah Nurainin Sofiya Zainal, Cikgu Tajudin Djuma, Cikgu Zulkarnain Zulkipli, Cikgu Norshafikah Asmanuh, Cikgu Jumalia Jali dan disokong penuh oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beluran, Sh. Mahada Sh. Attar, Dr. Nancy Ng Yut Kuan, Pegawai SISC+ Unit Sains dan Matematik PPD Beluran, Ismail Sindong, Pengetua SMK Pamol, Marius Salungin (GPK Pentadbiran), Radeyah Bernadus (GPK Hal Ehwal Murid) dan Ahmad Qusyairi Ibrahim (GPK Kokurikulum).
Lebih membanggakan lagi kejayaan ini di sokong oleh banyak pihak yang telah memberi sumbangan dalam bentuk kewangan iaitu daripada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah sebagai penaja utama.
Sumbangan lain ialah daripada Syarikat Poring Enterprise, Koperasi Sekolah, IOI Foundation Group Sdn. Bhd, ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum dan PL Bookstore Sdn Bhd dalam membantu kepada kejayaan pasukan inovasi ini.
Pertandingan ITEX 2024 menerima kira-kira 700 penyertaan daripada lapan buah negara dan SMK Pamol berani menyahut cabaran untuk menyertainya walaupun sekolah ini merupakan sekolah pedalaman yang terletak lebih kurang 106 kilometer jauhnya daripada pekan Beluran.
Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain khususnya daripada sekolah pedalaman juga.




























