GEORGE TOWN : Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental bertindak kejam apabila menikam ibunya sehingga mati dengan sebilah gunting, petang kelmarin.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Relau, dekat sini.
Akibat perbuatan tersebut, mangsa yang berumur 67 tahun mengalami cedera parah termasuk di bahagian muka dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, kejadian tersebut dimaklumkan sendiri oleh suspek kepada abang sulungnya sebelum mereka bertindak menghubungi polis.
Razlam berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu berjaya diberkas tidak lama selepas itu di kawasan kediaman terbabit.
“Siasatan mendapati, mangsa (si mati) tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung dan akan datang ke rumah peninggalan suaminya (di Relau) setiap tiga hari dalam seminggu.
“Suspek yang merupakan anak bongsu si mati pula pernah dimasukkan ke wad psikiatri tahun lepas dan pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya,” ujar beliau.
Tambah Razlam, ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk untuk mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu.
































