Anwar Ibrahim
BAGAN SERAI: Kerajaan sedia memperbaiki kelemahan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan golongan yang layak mendapat subsidi seterusnya tidak terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar itu.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel, ia tidak sempurna sepenuhnya dan sudah tentu mempunyai beberapa kelemahan namun kerajaan sedia memperbaikinya.
Menurut beliau, antara yang terkesan ialah rakyat golongan bawah seperti pesawah, pengusaha bas sekolah dan nelayan tetapi kerajaan akan membantu mereka.
“Apabila kita laksanakan penyasaran subsidi diesel, saya percaya tidak ada sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan namun kita cuba perbaiki.
“Namun kenaikan ini tidak melibatkan rakyat yang susah. Kalau ada rakyat untuk kehidupan mereka terpaksa guna diesel, saya katakan nelayan, pekebun kecil pemandu teksi, membawa bas dan sebagainya, itu akan dibantu oleh kerajaan.
“Subsidi ini untuk orang susah. Kalau memang mereka guna diesel untuk bas sekolah contohnya, kita akan bagi (subsidi), ada masa untuk mereka merayu,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini kelmarin.
Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel tidak sepatutnya menjadi kontroversi kerana semua perdana menteri sebelum ini turut bersetuju untuk pelaksanaannya kerana banyak berlaku ketirisan.
“Saya rasa aneh kalau ia digunakan sebagai isu politik kerana semua parti politik setuju.
“Saya ucap terima kasih kepada Setiausaha Agung Pas kerana keluarkan kenyataan. Dia faham kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga diesel,” katanya.
Menurut beliau, berbanding kenaikan tarif air sebelum ini, ia tidak menimbulkan isu kerana semua negeri terlibat dalam kenaikan tarif tersebut.
Sebaliknya, Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel kini menjadi isu apabila keputusan tersebut dibuat kerajaan Persekutuan.
“Sebelum ini, kenaikan tarif elektrik, kita tarik subsidi kepada siapa? Untuk golongan maha kaya dan orang asing dan kita dapat jimat RM4.5 bilion. Rakyat terbanyak tidak terkesan, kalau ada yang terkesan boleh merayu dan kita timbang.
“Jadi jangan kata tindakan itu zalim. Kalau tidak, tahun demi tahun tak ada keberanian untuk laksanakan satu dasar yang merugikan kerajaan, RM4 bilion hambur wang kepada orang asing dan golongan maha kaya, sebab itu orang tak bangkitkan lagi soal tarik elektrik,” katanya
































