KEMAMAN: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak selepas dihantar ke rumah pengasuhnya, di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut, dekat sini, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa disedari patah tangan ketika pemeriksaan dilakukan oleh doktor di Hospital Kemaman, selepas dibawa ibunya untuk menerima rawatan.
Hanyan berkata, sebelum kejadian, bayi tersebut dihantar ibunya ke rumah pengasuh kira-kira pukul 10 pagi.
“Selepas kira-kira sejam dihantar ke rumah pengasuh iaitu sekitar pukul 11 hingga 11.30 pagi, ibu bayi tersebut menerima panggilan daripada pengasuh berusia 29 tahun yang memberitahu anaknya tidak sihat dan demam.
“Ibu bayi tersebut bergegas ke rumah pengasuh dan mendapati anaknya dalam keadaan tidak bermaya. Ibu bayi itu kemudiannya membawa anaknya ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Hanyan berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati bayi itu mengalami pendarahan pada otak dan doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
“Bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabll dan masih dirawat di Hospital Kemaman.
“Kita masih menyiasat punca kejadian dan akan membuat siasatan menyeluruh sama ada berlaku pengabaian mahupun terdapat unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan merakam keterangan penjaga mangsa dan pengasuh serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
Hanyan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
































