Armizan Mohd. Ali
PETALING JAYA: Sebanyak 10 syarikat akan dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas bertindak mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan mereka pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesemua mereka akan dipanggil bagi memberi penjelasan terhadap tindakan mereka itu.
Kata beliau, notis bertulis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sudah diberikan kepada mereka.
Jelasnya, dua syarikat sudah pun dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.
“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan. Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
“Setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan. Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan, kelmarin.
10 syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (tiga syarikat), sektor bahan binaan (tiga syarikat), sektor makanan dan minuman (dua syarikat) serta dua syarikat daripada sektor sewaan jentera.
Terdahulu, Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia melaraskan harga diesel bagi semua pegeri di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu bgai memastikan semua penentuan atau peningkatan harga dan caj berlaku di sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0 sama ada kenderaan layak atau tidak.
Jelasnya, ia bagi memastikan mereka mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.
“Kementerian ingin memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya didapati terdapat pihak mengambil kesempatan dengan manipulasi harga maka akan dikenakan tindakan tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh kementeriannya.
“Terutama di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan atau syarikat,
“Manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.































