Seorang remaja perempuan berdepan pertuduhan terlibat dalam aktiviti persundalan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada bulan lalu.
TAMPIN: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang remaja perempuan berusia 20 tahun dihantar ke sekolah pemulihan akhlak, Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun selepas mengaku bersalah terbabit dengan aktiviti persundalan.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Kartini Kasran membuat perintah itu selepas mendengar laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didapati mencari pelanggan bagi maksud persundalan di sebuah bilik hotel di Gemas pada pukul 2.30 petang pada 3 Mei lalu.
Mengikut fakta kes, remaja perempuan berkenaan ditangkap selepas pekerja hotel membuat laporan polis berhubung kegagalan membayar sewa bilik hotel.
Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg berwarna hitam mengandungi tiga peket kondom dan remaja itu kemudian mengaku terlibat dalam aktiviti pelacuran.


































