Mohamad Norza Zakaria dan Hannah Yeoh pada majlis perjanjian MSN dengan persatuan sukan kebangsaan di Bukit Jalil.
PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan perbincangan bagi penetapan sasaran pingat pada Sukan Olimpik Paris yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sasaran pingat hanya akan dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Katanya, penetapan sasaran pingat tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia boleh memberi tekanan kepada atlet negara yang mengambil bahagian di temasya tersebut.
“Kita akan bincang apakah langkah yang terbaik sebab seperti sedia maklum kita tidak mahu atlet negara berada dalam tekanan. Saya fikir, macam saya selaku katakan, kebanyakan atlet impian mereka adalah layak ke Olimpik.
“Mereka sudah berusaha empat tahun untuk sampai ke peringkat itu. Jadi, untuk kali ini, langkah yang terakhir kita memberi sokongan sekuat-kuatnya kepada mereka.
“Perbincangan antara MOM dan MSN (Majlis Sukan Negara) harus kita adakan dan selepas berbincang kita akan beritahu perkembangan tersebut kepada media,” katanya kepada pemberita di MSN, Bukit Jalil, Selasa.
Dalam pada itu, Norza berkata jumlah penambahan atlet ke Sukan Olimpik bakal bertambah namun perlu ditunggu hingga 30 Jun ini.
“Setakat ini, kita meramalkan daripada segi saiz kontinjen dalam 24 hingga 25 sebagaimana yang kita sedia maklum namun kita juga menunggu sampai ke hujung bulan ini sama ada penambahan atau tidak,” katanya.
Sehingga kini, seramai 18 atlet negara telah layak secara merit ke Olimpik Paris bagaimanapun jumlah tersebut bakal berubah apabila terdapat beberapa lagi kejohanan yang menawarkan tiket ke temasya tersebut hingga 30 Jun ini.






























