Anggota bomba berusaha memadam kebakaran rumah di Bukit Bunga, Kampung Jakar, Tanah Merah, Kelantan hari ini- Ihsan Bomba
TANAH MERAH: Tindakan pantas seorang anak mendukung ibunya yang uzur sebelum meredah api dan terjun dari bahagian tingkap berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kejadian di Bukit Bunga, Kampung Jakar dekat sini terbakar kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Kamariah Abdullah, 78, baru sahaja selesaikan menunaikan solat subuh dan terdengar jeritan cucu yang memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menurut Utusan Malaysia, cucunya, Norhusnina Md.Idrus, 25, berkata, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu bapa saudaranya, Mohd. Shukran Abdul Hadi, 30, terus bertindak mengusung nenek dan menendang bahagian tingkap sebelum meredah kebakaran untuk keluar dari rumah.
“Difahamkan, kebakaran berpunca daripada litar pintas dari bilik sepupu saya, Muhammad Reezky Abdullah, 13, yang ketika itu sedang tidur.
“Muhammad Reezky melihat api menyambar tilamnya sebelum dia bergegas keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Norhusnina memberitahu, dua buah keluarga yang terdiri daripada tujuh orang termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan tinggal di dalam rumah tersebut.
Katanya, semua ahli keluarganya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat membawa keluar semua dokumen dan wang tunai sebanyak RM1,500 yang berada di dalam rumah.
“Dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Perdana milik bapa saudaranya turut terbakar dalam kejadian itu.
“Saya menganggarkan kerugian mencecah RM200,000 termasuk rumah milik nenek,”ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Ahmad Zailan Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.36 pagi tadi mengenai kebakaran sebuah rumah separuh kekal.
Katanya, semasa tiba di lokasi pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar dan punca serta anggaran kerugian dalam siasatan.






























