Sergio Aguero dipanggil untuk sertai kem Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Taiwan pada Selasa ini.
PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memanggil Sergio Aguero untuk menguatkan jentera serangan menjelang aksi terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Taiwan pada Selasa ini.
Keputusan berkenaan diambil Pan Gon selepas mengambil kira Harimau Malaya memerlukan jumlah jaringan besar ke atas Taiwan dan dengan kehadiran pemain Sri Pahang FC itu, jentera hadapan skuad negara dijangka akan lebih ‘menyengat’.
Menurut Utusan Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di laman Facebook mengesahkan kehadiran Aguero dalam kem kebangsaan dengan pemain naturalisasi negara itu sudahpun menyertai sesi latihan di Wisma FAM sebagai pemain ke-26, malam tadi.
Kehadiran Aguero sudah pasti memberikan sedikit kelegaan buat Pan Gon dalam menyusun strategi terbaik dalam misi meraih kemenangan besar ke atas pasukan ke-159 dunia itu.
Sebelum ini, skuad Harimau Malaya berdepan krisis kecederaan di bahagian serangan yang menyaksikan mereka terpaksa melupakan khidmat lima pemain iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.
Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.




























