Safwan Mazlan (kanan) membuktikan beliau tidak kekok untuk bermula dalam kesebelasan utama Harimau Malaya ketika menentang Kyrgyzstan, semalam.- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Pertahanan muda, Safwan Mazlan membalas kepercayaan diberikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon apabila menampilkan aksi cemerlang ketika membuat penampilan kali pertama di peringkat antarabangsa sewaktu aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan yang berakhir seri 1-1 di Bishkek, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, pemain berusia 22 tahun itu, jelas menunjukkan kematangan dan tidak gugup ketika bergandingan bersama Dominic Tan, Matthew Davies, Corbin Ong dan Dion Cools di benteng pertahanan.
Aksi ditunjukkan tonggak Terengganu FC itu mendapat pujian bekas pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam yang mengakui aksi bertenaga dan tenang ditampilkan pemain muda itu menunjukkan dia mempunyai masa depan yang cerah untuk terus bersama Harimau Malaya.
“Bagi saya (Safwan) amat meyakinkan. Kita tengok daripada riak muka dia, macam tiada apa-apa. Tiada muka cemas, rasa takut, tiada.
“Dia tenang dan sangat bersedia untuk bermain. Ini sesuatu yang baik dan ini satu lagi prospek buat skuad kebangsaan. Tapi saya sangat suka ketenangan dia mengawal dari bahagian belakang.
“Dia bukannya menyorok di belakang Dominic Tan. Dia keluar dapatkan (bola). Banyak keputusan yang dibuat tepat sebagai seorang pemain,” katanya.
Kim Pan Gon terpaksa membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama selepas kehilangan tujuh tonggak termasuk mempertaruhkan Safwan di jentera pertahanan, di mana ia adalah ‘caps’ pertama bersama skuad senior buat dirinya.
Dalam aksi itu, Gulzhigit Alykulov terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan sebelum Malaysia mendapat gol penyamaan menerusi jaringan sendiri Odilzhon Abdurakmanov yang tertanduk ke gawang Kyrgyzstan selepas gagal mengeluarkan bola sepakan percuma Endrick dos Santos di babak pertama.
Pasukan negara selepas ini akan menanti kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini, dengan kemenangan besar menjadi buruan Harimau Malaya untuk merebut peluang untuk mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026.


































