Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024, kelmarin. – Facebook Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kelewatan pelaksanaan projek perlu diatasi dengan berhemah melalui perubahan proses kerja dan penggunaan teknologi-teknologi baharu.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, terdapat keperluan supaya perkara berkenaan diatasi secara berhemah menerusi perubahan proses kerja dan penggunaan teknologi baharu.
“Saya berharap agar perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta program Pembangunan Kerajaan berjalan lancar berdasarkan perancangan secara bersepadu.
“Saya juga berpuas hati dengan pencapaian prestasi pembasmian kemiskinan yang menunjukkan penurunan drastik.
“Selain itu, saya bersetuju supaya penggunaan ‘Building Information Modelling’ (BIM) diperluas kepada projek kerajaan dan swasta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, semua kementerian, agensi dan pihak berkepentingan perlu bergerak seiring, secara terancang dan bersepadu.
“Ini bagi memastikan pencapaian, keberhasilan perancangan dan pelaksanaan projek serta pembangunan negara menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya.


































