JOHOR BAHRU: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa culik tiga lelaki bersenjatakan parang yang menyerbu rumahnya di Kulai.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat keluarga mangsa pada pukul 3.13 petang, 16 Mei lalu memaklumkan wanita berusia 30 tahun itu telah diculik.
umpulan suspek telah menuntut wang tebusan sekiranya mahu mangsa tidak diapa-apakan dan dilepaskan dalam keadaan baik.
“Keluarga mangsa telah menuruti permintaan suspek dengan membayar wang pampasan berjumlah RM111,000. Wanita yang diculik itu telah dilepaskan di sebuah perhentian bas di Skudai, di sini dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan sebaik wang tebusan diserahkan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin
Pihak polis telah menjalankan siasatan susulan dan berjaya menahan sembilan lelaki berusia 24 hingga 48 tahun antara 23 hingga 25 Mei lalu di beberapa lokasi berasingan di negeri ini, Negeri Sembilan dan Selangor yang disyaki terbabit dalam jenayah itu.
Pihak polis turut merampas wang tunai yang dipercayai diperoleh hasil daripada kejadian culik itu.
“Semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati enam daripada mereka positif methamphetamine,” katanya.
Menurut Kumar, semua lelaki itu ditahan reman 14 hari dan pertuduhan dijalankan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Kulai, kelmarin.
Tiga suspek yang dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang.
“Dua daripada mereka turut didakwa di bawah Seksyen 383 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kulai, Nurkhalida Farhana Abu Bakar serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang
Beliau berkata, dua lagi tangkapan dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Nurkhalida Farhana dan kedua-duanya dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang.
Empat lagi tangkapan dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan.
https://www.utusan.com.my/berita/2024/06/wanita-diculik-sembilan-lelaki-diberkas


































