SEREMBAN : Seorang warga emas berputih mata selepas wang simpanannya lesap gara-gara terpedaya dengan tipu muslihat tiket loteri secara bersemuka dua orang lelaki pada 9 Disember tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, mangsa telah didatangi dua orang lelaki tidak dikenali yang menawarkan pembelian nombor loteri.
“Pada 18 Disember tahun lalu, pengadu dimaklumkan dia memenangi RM3. 7 juta melalui nombor loteri yang telah dibeli.
“Bagi mendapatkan wang yang dimenangi, mangsa diminta membuat pembayaran untuk kos upacara korban bagi menyucikan wang loteri tersebut.
“Mangsa yang mengikut segala arahan terbabit telah memindahkan wang melalui 62 transaksi sehingga berjumlah RM594,000 ke akaun yang diberikan suspek,”katanya ketika dihubungi.
Mat Ghani berkata, mangsa kemudiannya menyedari ditipu setelah gagal mendapatkan kembali wang miliknya dan keuntungan yang dijanjikan hasil kemenangan nombor loteri tersebut.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.


































