Anwar Ibrahim
MELAKA: Rang undang-undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Pekerja GIG akan dibentangkan di Parlimen Julai ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, Kabinet bersetuju untuk membentuk kerangka bagi memenuhi keperluan kumpulan itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia.
“Baru-baru ini ada usul belia-belia, dia minta adakan Suruhanjaya Pekerja GIG kerana puluhan ribu, malahan mencecah seratus ribu anak muda dalam ekonomi GIG.
“Kerajaan terus bersetuju dan kita akan persiapkan undang-undang dan insya-Allah boleh dibentang pada Parlimen pada Julai akan datang. Maknanya bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tetapi laksanakan sebaiknya,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri (HBN) 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, hari ini.
Sebelum ini, Sekretariat Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) menyokong sepenuhnya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG.
Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, penubuhan itu dapat menoktahkan segala isu dan permasalahan berpanjangan dalam hal berkaitan isu kadar upah yang tidak tetap dan rendah.
































