Lee Zii Jia menjadi wakil tunggal meneruskan acara perseorangan selepas memastikan kedudukannya ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024, hari ini. – Utusan/Shiddieqiin Zon
KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Lee Zii Jia menjadi wakil tunggal meneruskan acara perseorangan selepas memastikan kedudukannya ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, pada aksi pusingan kedua sebentar tadi, menyaksikan juara Terbuka Thailand minggu lalu itu mudah mengetepikan pemain muda India, Kiran George 21-13, 21-18.
Keputusan manis diraih oleh Zii Jia itu memastikan beliau berada di landasan yang tepat mengekalkan kemenangan sejak Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu.
Bagaimanapun pemain nombor 10 dunia itu berdepan cabaran getir bertemu pilihan kedua dari Denmark, Anders Antonsen yang mana menewaskan rakan senegaranya, Magnus Johannesen, 17-21, 21-9, 21-15, hari ini.
“Perlawanan menentang dia (Antonsen) sangat sukar. Lebih-lebih lagi di baru menang Terbuka Malaysia Januari lalu. Semestinya bukan mudah hendak atasi dia.
“Ini merupakan pertemuan kelapan kami. Benda pertama sekali saya perlu sabar dengan dia. Dia seorang pemain ranking teratas dan juga mentaliti juara. Saya akan tampil dengan prestasi terbaik saya esok,” katanya selepas pusingan kedua Masters Malaysia 2024.
Kemenangan Zii Jia hari ini menyaksikan beliau meraih keputusan kedua yang memberangsangkan di laman sendiri sejak Masters Malaysia 2020 yang mana beliau tewas kepada bekas pemain Jepun, Kento Momota di separuh akhir.
Sejak dari itu beliau gagal mara ke lapan terakhir berikutan sering terkandas di pusingan pertama dan kedua di kejohanan berstatus Super 500 mahupun di Terbuka Malaysia.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa akur akan kekuatan pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng selepas tewas 21-15, 21-16 dalam tempoh 58 minit.
Turut tersingkir, pemain profesional Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita seelpas gagal meneruskan rentak kemenangannya kepada musuh lamanya, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand 21-10, 21-14.


































