Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang pasangan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan No. 4 dunia yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu sentiasa dihambat gandingan ke-44 dunia tersebut sehingga ke hujung aksi sebelum menang 21-18, 22-20 dalam masa 38 minit.
Aaron berkata, walaupun dia dan Wooi Yik sentiasa dihambat pasangan Korea Selatan itu tetapi amat penting untuk mereka bangkit ketika saat-saat genting.
“Saya anggap ini sebagai satu latihan apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan, bagus juga kerana sekurang-kurangnya kita belajar bagaimana untuk mengendalikan situasi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.
Jelasnya, kekuatan mental dia dan Wooi Yik benar-benar diuji terutama ketika pertarungan pada set kedua.
Wooi Yik pula berpendapat, ketinggalan pada waktu genting dan kemudian bangkit merupakan satu perkara yang biasa mereka harungi dalam aksi-aksi sebelum ini.
“Memang keadaan ini berulang kali berlaku, jadi, ini satu pelajaran buat kami bagaimana hendak mengawal keadaan tersebut dengan baik,” ujarnya.
Menanti Aaron-Wooi Yik pada pusingan kedua, hari ini ialah beregu China yang menghuni ranking ke-25 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Gandingan dari negara tembok besar itu menumpaskan beregu Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Voelker 21-14, 21-10 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.
Tiada rekod pertemuan yang dicatat antara kedua-dua beregu dan hari ini, merupakan perlawanan pertama membabitkan Aaron-Wooi Yik menentang Bo Yang-Liu Yi.
































