Masiung (kiri) memberi Dr. Jeffrey (kanan) mencuba makanan tradisi etnik Rumanau Sungai.
TONGOD: ADUN Tongod, Datuk Masiung Banah mencadangkan supaya sesi soal jawab peserta bagi pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan tidak dihadkan kepada bahasa Kadazan dan Dusun sahaja tetapi ia perlu dipelbagaikan mengikut dialek daerah asal peserta terbabit.
Beliau mahu Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri merangka garis panduan baharu berhubung syarat pertandingan yang menjadi acara kemuncak pesta itu pada tahun akan datang.
Masiung turut mengesa badan Induk Pesta Kaamatan Negeri menghantar beberapa pengacara pesta itu untuk berkursus bagi menguasai dialek etnik lain di Sabah.
“Perayaan pesta terbesar di Sabah itu wajar dikongsi bersama bagi mempromosi tradisi budaya mengikut 33 etnik dan sub-ethnik yang ada di negeri ini
“Perayaan Pesta Kaamatan di Sabah perlu ditambah baik, bukan sahaja memartabatkan bahasa kesukuan, tetapi perlu memperagakan pakaian tradisi mengikut etnik masing-masing,” katanya pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan di sini kelmarin.
Terdahulu, Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, wujud kepincangan dari segi penggunaan bahasa ibunda yang perlu diperbaiki dalam pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan.
“Walaupun bahasa Kadazan dan Dusun diguna pakai dalam sesi soal jawab peserta pertandingan Unduk Ngadau namun tidak ramai peserta yang menguasai dialek itu.
“Isu ini jelas menafikan peluang peserta Unduk Ngadau melangkah ke peringkat lebih tinggi walaupun mereka memiliki lelebihan,” katanya.
Masiung berkata, ramai wanita muda yang menyertai pertandingan itu yang datang daripada pelbagai etnik dan sub-etnik dari pelusuk negeri sebenarnya kurang memahami dialek Kadazan dan Dusun.
































