KUALA LUMPUR: Tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadikan sebuah inap desa di Sabak Bernam, Selangor sebagai rumah transit terbongkar selepas kediaman yang baru seminggu digunakan itu diserbu polis, pagi ini.
Serbuan Operasi Pintas Transit Migran kira-kira pukul 1.30 pagi itu dilaksanakan pasukan dari Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 20 PATI warga Indonesia termasuk empat wanita berusia antara 22 tahun hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Katanya, premis inap desa yang diserbu dikesan dijadikan tempat transit PATI yang keluar dan masuk ke negara ini melalui laluan laut yang tidak tidak diwartakan.
“Risikan mendapati inap desa berkenaan baru seminggu dijadikan rumah transit oleh satu sindiket yang mendalangi kegiatan penyeludupan masuk dan keluar PATI dari negara jiran dikenali sebagai Geng Romi.
“Pada masa serbuan, seramai 19 PATI sedang menunggu untuk dibawa keluar daripada negara ini, bersama seorang lelaki berperanan sebagai tekong darat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, Geng Romi dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan setiap PATI yang mendapatkan khidmat mereka perlu membayar antara RM1,200 hingga RM2,000.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.































