PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan rakyat Singapura antara tujuh individu direman bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu yang direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 24 Mei semuanya membabitkan warga tempatan.
“Semua ditahan adalah warga tempatan, tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan,” katanya di sini kelmarin.
Terdahulu, media melaporkan tujuh individu termasuk seorang warga Singapura ditahan bagi membantu siasatan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.
Perintah reman dibenarkan oleh Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Samsudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini mulai kelmarin sehingga Jumaat ini (24 Mei).
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga kepada suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek yang menyerang balai polis.
Turut direman, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.































