Senjata yang digunakan suspek untuk menembak anggota polis dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Suspek dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi ini, menggunakan modus operandi dengan dua individu lain datang ke balai polis untuk bertanyakan berhubung siasatan kes cabul dua tahun lalu.
Ia dipercayai bagi mengalihkan perhatian anggota polis di balai berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.30 pagi ini.
“Pada masa sama, suspek yang menaiki motosikal datang, sebelum terus memasuki balai polis. Anggota polis yang menyedari kejadian itu terus mendapatkan suspek sebelum suspek menetak anggota pada leher sebanyak tiga kali.
“Suspek kemudian merampas senjata api anggota polis yang rebah dan melakukan tembakan ke atas anggota lain yang bertugas. Salah seorang anggota polis maut terkena tembakan pada pipi dan tembus ke kepala,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini.
Menurut Razarudin, seorang lagi anggota cedera di bahagian bahu terkena tembakan semasa membalas tembakan untuk mempertahankan diri sebelum menembak mati suspek.
“Anggota polis tersebut mengalami kecederaan dan sedang dilaporkan stabil kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
“Kita tidak menolak kemungkinan serangan itu dipercayai bermotifkan untuk merampas senjata api bagi melakukan serangan ke atas anggota keselamatan,” katanya.































