SEREMBAN: Suspek yang dipercayai menghantar komen berbaur ugutan bunuh di media sosial terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel kini sedang dikesan pihak polis untuk siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin membuat laporan polis di balai di bawah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pada 14 Mei lalu.
“Laporan polis dibuat mengenai satu hantaran di aplikasi Instagram yang dibuat pemilik akaun @syxmzxk yang menulis ‘ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.’
“Bagaimanapun ia dipercayai berlaku di kediaman pelakon itu di Lenggeng, jadi ia kini di siasat di bawah IPD Nilai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Malik berkata, buat masa ini pihaknya meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Instagram berkenaan.
“Kami sudah memanggil Naim Daniel untuk diambil keterangan. Dengan bantuan daripada SKMM, saya rasa akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Malik menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab terhadap komen dibuat dan jangan terlalu mengikut emosi kerana ia akan memakan diri.
“Setakat ini kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Naim Daniel membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.































