KOTA KINABALU: Biarpun kebenaran semakan kehakiman yang dibuat oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berjaya dicabar namun, ia tidak akan memberi impak dalam pemberian geran khas 40 peratus kepada negeri Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, peguam mewakili Sabah, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad berkata, jika SLS kalah dalam rayuan yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC), ia tidak akan mengubah atau memberi kesan terhadap pemberian geran khas 40 peratus kepada negeri Sabah.
“Pendengaran kes hari ini tidak berkaitan dengan hak Sabah untuk menerima geran khas 40 peratus.
“Persepsi orang ramai bahawa pendengaran kes hari ini mengenai ‘do or die’ mengenai geran khas 40 peratus adalah salah,” katanya semasa sidang akhbar selepas pendengaran rayuan AGC di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menuntut geran khas 40 peratus melalui prosedur Perlembagaan seperti ditetapkan dalam peruntukan geran khas 40 peratus dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Fuad berkata, Mahkamah Rayuan hari ini turut membenarkan kerajaan negeri campur tangan dalam rayuan yang dikemukakan AGC untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk memberi kebenaran kepada SLS membuat semakan kehakiman berkaitan geran khas 40 peratus kepada negeri.
Katanya, hak kerajaan negeri untuk menentang kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan akan terkesan sekiranya kerajaan negeri dikecualikan daripada pendengaran hari ini.
“Hak untuk melakukan semakan mungkin boleh membawa kepada kewajipan memberi geran khas 40 peratus di bawah Perkara 112D(4) secara mandatori dan kerajaan negeri boleh memohon semakan dibuat pada bila-bila masa,” katanya.
Sekiranya kerajaan Persekutuan melanggar peruntukan di bawah Perlembagaan ini sama ada Perkara 112C atau 112D (geran khas 40 peratus) maka, kerajaan negeri boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Bagaimanapun, AGC mempertikaikan bahawa peruntukan geran khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan Perkara 112D tidak terbuka untuk dicabar di mahkamah kerana ia berkaitan pertimbangan kewangan dan politik.
Malah, SLS turut membantah agar kerajaan negeri dibenarkan untuk masuk campur dalam pendengaran hari ini kerana ia hanya berkaitan rayuan memberi kebenaran.
Mahkamah rayuan belum membuat keputusan mengenai rayuan kerajaan Persekutuan untuk mencabar kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi terhadap SLS untuk membuat semakan kehakiman berkaitan geran khas 40 peratus kepada negeri.
Pendengaran rayuan hari ini dilakukan dihadapan Hakim Datuk Ravinthran A/L N. Paramaguru, Datuk Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing.
AGC pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi serta Peguam Persekutuan Krishna Priya a/p Veenagopal @ Venugopal dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.


































