PUTRAJAYA: Pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) akan dibuka kepada lima sektor yang bermula pada bulan depan hingga Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan memaklumkan, lima sektor itu ialah pembinaan, pembuatan, perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal.
Ini termasuk sektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.
Katanya, kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan keberhasilan pekerja.
“Syarikat yang menyertai DGP perlu menyediakan dokumen yang mengesahkan bahawa pekerja menghadiri dan melengkapkan kursus dan latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama 21 jam (tiga hari),” katanya hari ini.
Kementerian Sumber Manusia berkata, syarikat yang berminat untuk menyertai DGP boleh mendaftar secara sukarela melalui Portal Dasar Gaji Progresif (https://gajiprogresif.gov.my) mulai semalam.
Katanya, syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja untuk kumpulan peringkat permulaan, manakala maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja untuk kumpulan bukan peringkat permulaan.
“Pekerja peringkat permulaan bermaksud pekerja yang berkhidmat dalam tahun pertama di syarikat dan jawatan tersebut, manakala pekerja bukan peringkat permulaan bermaksud pekerja yang telah mengisi jawatan di syarikat lebih daripada setahun.
“Tuntutan insentif boleh dibuat oleh majikan mulai Jun ini,” katanya.
DGP merupakan komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Pengenalan dasar baru ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS).
Kementerian itu berkata, sejumlah RM 50 juta diperuntukkan untuk projek rintis DGP yang akan melibatkan sebanyak 1,000 majikan.
Maklumat lanjut tentang DGP juga boleh diperoleh dengan melayari Portal Dasar Gaji Progresif (https://gajiprogresif.gov.my).


































