Siti Nurul Masyitah Md. Elias cedera parah dipercayai dilanggar seorang pemandu mabuk di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), Sabtu lalu.
JOHOR BAHRU: Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, mengalami cedera parah dipercayai dilanggar seorang pemandu mabuk di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).
Kejadian yang menimpa penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini itu dilaporkan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal menuju ke Southkey, di sini Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PIS dalam satu kenyataan memaklumkan, Siti Nurul Masyitah merupakan penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
“Menurut saksi dan rakaman, sebuah kereta yang disyaki yang dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang telah melanggar mangsa dan mangsa diseret sejauh lebih kurang 600 meter. Mangsa sekarang dirawat di Hospital Columbia Asia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius,” demikian menurut kenyataan itu.
Mangsa sering berulang-alik dari PIS ke rumah kerana menjaga ibu bapanya.
“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan, manakala bapanya tidak sihat dan memerlukan rawatan dialisis.
Siti Nurul Masyitah merupakan salah seorang atlet sukan kayak dan Dragon Boat Malaysia yang telah memenangi pingat perak dalam temasya Sukan SEA 2023.
































