Robert Tawik
KOTA KINABALU: Pengorbanan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dalam mempertahankan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dijadikan teladan kepada semua pemimpin negeri ini untuk terus bersatu hati menjadikan Sabah lebih maju dan berdaya saing.
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik berkata, Dr. Jeffrey merupakan seorang pemimpin yang komited dan berani menggadai nyawa demi mempertahankan hak-hak Sabah sehingga membawa dirinya ditahan selama 26 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.
“Mengimbas kembali detik-detik perjuangan beliau, seharusnya menjadikan suatu teladan berguna kepada kepimpinan negeri Sabah termasuk rakyat untuk terus bersatu hati bagi mempastikan pembangunan dan kemajuan negeri terus maju.
“Kita juga perlu bermuasabah diri untuk mengenang kembali perjuangan kritis seorang pemimpin seperti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam membela negeri tercinta ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor menjelaskan, liku-liku perjuangan Presiden STAR itu juga membuktikan beliau sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan optimis untuk melihat negeri kelahirannya mendapat hak sewajarnya seperti mana yang termaktub dalam MA63.
Justeru katanya, sebagai seorang pemimpin politik dalam STAR, segala perjuangan Presiden itu pasti menjadi agenda utama untuk disuarakan dan tidak pernah luntur dikalangan pemimpin dan ahli parti untuk membangkitkan isu-isu tersebut dalam setiap konvensyen mahupun persidangan di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Selain itu, beliau juga menjelaskan isu hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan diangkat sebagai usul utama ketika Mesyuarat Agung Tri-Tahunan STAR Kali Ke-3 Sesi 2024 yang dijadualkan pada bulan depan.
“Kita berbangga dengan hasil perjuangan Presiden STAR, maka lebih ramai pemimpin dan ahli parti telah faham maksud sebenar hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63. Justeru dalam setiap konvensyen atau persidangan, kita pasti membawa isu ini agar terus didengar oleh pihak berkenaan,” tegasnya.
Pada masa sama, Robert juga yakin kepimpinan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini lebih terbuka untuk mendengar seterusnya membuat pertimbangan sewajarnya mengenai hak-hak Sabah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan turut menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) yang dianggotai beberapa pemimpin dari Sabah dan Sarawak sebagai pendekatan lebih praktikal dalam membincangkan isu-isu berkaitan tuntutan hak-hak Sabah dalam MA63.
Selasa lepas, Dr. Jeffrey dalam satu forum dalam talian tentang ulang tahun penahanan ISA beliau yang dihoskan oleh Sabah Way Forward dan KupiKupifm Sabah yang dikendalikan oleh wartawan, Philip Golingai telah menjelaskan mengenai perjuangan menuntut hak-hak Sabah dalam MA63 sehingga mengheret kepada penahanannya dibawah ISA pada Mei 1991.
Tegas Timbalan Ketua Menteri itu, beliau tidak pernah ada komplot untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia dan penahanannya bermotifkan politik semata-mata di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghalang Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada masa itu daripada mengejar hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlindungan 20 Perkara.
































