Aksi pemain Sabah FC semasa menentang Penang FC semasa sepak mula Liga Super di Stadium Likas di Kota Kinabalu semalam- Ihsan FB Sabah FC
KOTA KINABALU: Kegagalan Video Bantuan Pengadil (VAR) berfungsi di Stadium Likas menyebabkan Sabah FC terlepas peluang untuk meraih tiga mata penuh ketika menentang Penang FC, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, sekiranya VAR yang mula diperkenalkan dalam saingan musim ini berfungsi, pasukan berkemungkinan mendapat sepakan penalti, sekali gus mengubah keputusan perlawanan.
“Kalau ada VAR kemungkinan ada penalti untuk kami, tetapi kami harus terima pada saat-saat akhir VAR tidak dapat digunakan.
“Jadi, kemungkinan kali ini tidak membantu tetapi pada perlawanan akan datang mungkin dengan adanya VAR akan tambah baik dari segi keputusan pengadil,” katanya.
Insiden itu berlaku apabila pemain Sabah mendakwa bola terkena tangan pemain Penang dalam kotak penalti ketika berlaku perebutan bola antara Saddil Ramdani dengan seorang pemain pelawat pada minit ke-77.
Bagaimanapun, pengadil tidak melihat situasi itu dan hanya memberikan Sabah sepakan sudut, manakala semakan VAR tidak dapat dibuat kerana teknologi itu tidak berfungsi.
Mengulas lanjut Kim Swee berkata, bermain di tempat sendiri tanpa mendapatkan kemenangan pada perlawanan pertama sudah tentu memberi kesan pada permulaan musim baharu.
Dalam pada itu, pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, menentang pasukan Sabah FC bukan tugas yang mudah kerana skuad Sang Badak mempunyai kualiti individu dan pasukan yang baik.
“Satu mata cukup positif buat kami. Namun, banyak lagi yang perlu kami perbaiki untuk menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang,” katanya.


































