Kenderaan dinaiki tiga mangsa maut dalam kemalangan di KM 32 Jalan Semporna-Tawau.
SEMPORNA: Seorang wanita bersama bayi perempuan berusia sembilan bulan antara tiga maut dalam kemalangan yang berlaku di KM 32 Jalan Semporna-Tawau, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia sembilan bulan hingga 66 tahun itu dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Semporna.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan Perodua Viva dinaiki tiga mangsa bersama tiga ahli keluarga lain telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Toyota Avanza.
Akibat pertembungan itu, tiga mangsa perempuan yang berada dalam Perodua Viva tersebut maut manakala, tiga anggota keluarga lain termasuk pemandu cedera parah. Salah seorang mangsa maut bukan warganegara.
“Tiga mangsa yang cedera iaitu pemandu berusia 31 tahun mengalami cedera pada bahagian kepala serta patah rusuk kanan; seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun cedera parah di bahagian kepala dan patah paha kanan manakala, seorang kanak-kanak perempuan cedera di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu dan dua penumpang Toyota Avanza mengalami cedera ringan.
Mohd. Farhan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Inspektor Zabir Aripin di talian 013-8021701 atau hubungi 089-782020 Balai Polis Semporna atau mana-mana balai polis berhampiran.






























