Lee Zii Jia menyasarkan memenangi pingat emas Olimpik Paris.
PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mensasarkan untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, bekas juara Asia 2022 itu wakil tunggal menerusi acara perseorangan yang mana menyaksikan beliau ke temasya terbabit selepas senarai akhir dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
Menerusi rakaman suara dari laman sosial X milik Team LZJ berkata, beliau bukan sekadar sasar untuk melayakkan diri ke Paris, namun untuk meraih emas ketika di sana.
“Secara jujurnya, saya tidak bercakap kosong. Sasaran saya bukan layak ke sana (Olimpik) tetapi untuk merangkul emas di sana.
“Saya yakin saya ada potensi untuk menang. Bagaimanapun, saya sedar saya bergelut dengan prestasi saya yang tidak menentu.
“Ada sebab saya tidak meraikan saya layak ke Olimpik kerana sasaran saya untuk bergelar juara di Paris, bukannya layak semata-mata,” kata Zii Jia menerusi laman sosial milik Team LZJ malam, semalam.
Untuk rekod, Zii Jia bakal membuat kemunculan kedua berturut-turut selepas penampilan sulungnya ketika Sukan Olimpik Tokyo 2022.
Dalam pada itu, Zii Jia turut mendedahkan ini merupakan pencapaian terbesar baginya selepas menjadi pemain perseorangan lelaki negara yang layak ke Olimpik selepas Datuk Lee Chong Wei.
“Ketika proses kelayakan menerusi jelajah BWF, saya akui ianya tidak mudah. Kita lihat Ng Tze Yong, hanya beza satu ranking untuk beliau layak namun berikutan kecederaan mengagalkan hasratnya.
“Saya terharu kerana selepas Chong Wei saya pemain yang berjaya main (Olimpik) lebih dari sekali. Ini memberi satu motivasi buat saya. Harapan saya hanya bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap terbaik untuk bersaing di Olimpik kali ini,” katanya.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat dalam acara perseorangan lelaki di temasya OIimpik menerusi Chong Wei yang meraih perak pada edisi 2016 di Brazil.
Empat wakil negara turut mengikuti jejak langkah Zii Jia menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).






























