Dr. Dzulkefly Ahmad
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan sedang dan akan menaik taraf 58 klinik kesihatan daif di Sabah pada tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat empat bulan pertama tahun ini, tiga klinik telah siap dinaik taraf manakala 55 klinik lagi dalam proses pelaksanaan.
Beliau berkata, sejumlah RM21.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf tersebut.
“Itu komitmen untuk menangani klinik-klinik daif dan ada yang sedang dalam pembinaan untuk kita siapkan sebelum hujung tahun ini
“Saya beritahu Pengarah (Jabatan Kesihatan Negeri) agar tiada projek menaik taraf yang dibawa ke tahun depan,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Menurut Dzulkefly, secara keseluruhan klinik-klinik daif yang akan dinaik taraf di seluruh negara pada tahun ini adalah sebanyak 401 klinik daif yang membabitkan peruntukan sejumlah RM150 juta.
Sehingga April, daripada 401 klinik daif tersebut, enam telah pun siap manakala, 208 klinik daif sedang dalam fasa pembinaan.
Beliau berkata, pada tahun lalu daripada 23 projek menaik taraf klinik daif di Sabah, 19 klinik daif telah dinaik taraf manakala, empat lagi dibawa untuk pelaksanaan pada tahun ini. Ia membabitkan peruntukan sejumlah RM10.8 juta.
Secara keseluruhan pada tahun lalu sebanyak 524 klinik kesihatan dinaik taraf di seluruh negara dan 521 klinik telah siap dinaik taraf.
Mengulas tentang projek sakit Kementerian Kesihatan di Sabah, Dzulkefly berkata, ketika ini terdapat tiga projek sakit di bawah kementeriannya dikenal pasti di Sabah iaitu pembinaan Klinik Kesihatan (jenis lima) di Sikuati, Kudat; menaik taraf Hospital Papar dan menaik taraf Jabatan Pesakit Luar, Hospital Tambunan.
“Saya tahu beberapa projek mengambil tempoh lanjutan yang terlalu lama, ada yang sudah melepasi lima hingga enam tahun malah, ada hampir lapan tahun seperti Hospital Papar,” katanya.
































