Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
PENAMPANG: Dua lelaki warga asing maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang jalan ketika mengelak sebuah motosikal yang terlanggar sebiji tayar gantian lori yang tertanggal di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima satu maklumat awam pada jam 6.30 pagi mengenai kes kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori komersial dan dua buah motosikal yang bergerak dari arah yang sama di KM 7, Jalan Penampang ke Kota Kinabalu berhampiran bulatan Towering, Penampang.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada tayar gantian milik lori komersial yang sedang dipandu ke destinasinya telah tertanggal di tengah jalan lalu dilanggar oleh sebuah motosikal dan sebuah motosikal yang lain cuba mengelak dari kemalangan tersebut telah terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan.
Katanya, akibat daripada kejadian tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabas di dalam longkang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Kedua-dua mangsa berumur 27 tahun dan 17 tahun merupakan warganegara asing manakala empat lagi mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
































