PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah dijangka boleh memohon untuk memindahkan 10 per 30 simpanan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel menerusi aplikasi i-Akaun atau mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara, mulai esok.
Menurut Utusan Malaysia, walaupun Akaun Fleksibel akan mula diperkenalkan tanpa sebarang jumlah mulai hari ini namun pencarum boleh memilih untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera antara 12 Mei dan 31 Ogos.
Bagaimanapun, Akaun Fleksibel akan kekal bermula pada RM0 jika pencarum tidak memilih untuk memindahkan sebarang jumlah dan hanya akan bertambah dengan caruman baharu selepas 11 Mei.
Berdasarkan laman web KWSP, menerusi penstrukturan semula, sebuah akaun baharu iatu Akaun Fleksibel diperkenalkan, dengan Akaun 1 dinamakan sebagai Akaun Persaraan, dan Akaun 2 sebagai Akaun Sejahtera.
Dengan pengenalan Akaun Fleksibel, bahagian caruman yang disimpan ke dalam Akaun Persaraan meningkat kepada 75 peratus, tetapi bahagian untuk Akaun Sejahtera dikurangkan kepada 15 peratus, manakala 10 peratus akan masuk ke Akaun Fleksibel.
“Akaun ini (Fleksibel) bertujuan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli. Simpanan Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP,” katanya.
Pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel hanya boleh dilakukan sekali sahaja bermula tarikh berkuat kuasa sehingga 31 Ogos depan.
Bagi proses itu, pindahan amaun permulaan akan diluluskan dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja.
“Ahli boleh membuat pengeluaran Akaun Fleksibel sebaik sahaja mempunyai simpanan minimum RM50, sama ada selepas pindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera telah dibuat atau setelah pengkreditan caruman baharu.
“Syarat-syarat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel adalah belum mencapai umur 55 tahun; mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel dan had amaun pengeluaran minimum ditetapkan adalah RM50,” katanya.
Bayaran bagi pengeluaran Akaun Fleksibel akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank pencarum yang masih aktif dan didaftarkan atas nama sendiri.































