HULU SELANGOR: Polis menerima 12 laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menerusi aduan atas pelbagai kesalahan pilihan raya termasuk penyalahgunaan gambar Yang di-Pertuan Agong serta manipulasi logo UMNO dan DAP.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen sejak penamaan calon pada 27 April lalu sehingga hari mengundi pada hari ini.
“Apa yang dilapor oleh KP (Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan) berkenaan dengan PRK, sebelum, semasa dan selepas, keanggotaan yang dikerahkan adalah 1,139, apa daripada permulaannya masa penamaan calon dan hari mengundi.
“Ada 12 laporan sahaja dan ada dua tangkapan dan kita sudah tuduh salah seorang yang meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong serta Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pemberita dekat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini.
Beliau kemudian meninjau perjalanan pilihan raya di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 terhadap seorang warga emas, P. Ramasamy selepas didapati bersalah menyalahgunakan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera dan logo Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, tiada isu-isu sensitif pada ceramah oleh pemimpin parti-parti politik dikesan terutama berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
“Jadi, dalam keadaan itu kita lihat memang sangat aman, tenteram dan dari segi keselamatan ini bukan pilihan raya pertama kali, kebanyakan anggota dan Ketua Polis Selangor serta pegawai turusnya memang berpengalaman mengurus atau menyusun atur, menentukan keselamatan dan ketenteraman terutama bagi pengundi-pengundi dan juga petugas pilihan raya untuk bertugas dengan selamat.
“Tak ada yang menyentuh 3R atau isu terlalu sensitif, tiada. Isu yang dibangkitkan adalah pembangunan, itulah yang sepatutnya dibincangkan (oleh parti politik). Berkaitan kempen (juga), kita keluarkan permit 190 lebih permit dan tiada aduan langgar permit dibuat,” jelasnya.
Pada PRK Kuala Kubu Baharu, seramai 39,362 daripada 40,226 keseluruhan pengundi layak mengundi di 74 saluran pada 18 pusat mengundi di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
PRK kawasan itu diadakan apabila ia diisytihar kosong selepas penyandangnya mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.































