PONTIAN: Marah kerana diintai menghisap rokok di dalam stor, seorang guru di sebuah sekolah agama di sini didakwa bertindak luar batasan dengan menampar, memukul dan mencekik sekumpulan murid.
Tindakan guru lelaki berusia 48 tahun itu menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana murid-murid lain yang tidak terlibat turut dimarahi dengan kata-kata kurang baik.
Berikutan kejadian yang berlaku petang kelmarin, seorang bapa dan tiga ibu membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Baloi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohammad Shofee Tayib mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh ibu bapa murid-murid tersebut.
Bagaimanapun katanya, polis menunggu arahan perintah untuk menyiasat (OTI) daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan ke atas guru tersebut kerana polis sedang menunggu OTI dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Mohammad Shofee, dalam laporan polis yang dibuat ibu bapa terbabit, mereka mendakwa guru tersebut menampar, menumbuk dan mencekik tiga murid berusia 11 tahun dan seorang berusia 10 tahun.
“Hasil siasatan awal, murid-murid berkenaan semasa pulang dari sekolah dalam keadaan menangis dan badan mereka menggigil dan mengadu kepada keluarga masing-masing.
“Disebabkan tidak berpuas dengan tindakan guru tersebut, keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berlaku ke atas anak-anak mereka,” ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, guru terbabit mengakui marah kerana seorang daripada muridnya mengintai ketika sedang menghisap rokok di kawasan stor sekolah.
Sementara itu, seorang daripada Ibu kepada murid terlibat mahu individu terbabit ditukarkan ke lokasi lain untuk mengajar.
Wanita berharap guru tersebut dapat ditukarkan sekolah kerana anaknya yang berusia 11 tahun takut ke sekolah.
Katanya, dengan cara demikian sahaja murid-murid tidak berasa bimbang untuk ke sekolah kerana takut perkara sama berulang.
“Ada sedikit lebam pada pipi kanannya akibat ditampar guru berkenaan pada hari kejadian dan saya telah membawanya ke Hospital Pontian bagi mendapat pemeriksaan lanjut,” katanya.































