Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seramai 71,186 individu mendapat peluang memulakan hidup baharu selepas dikeluarkan daripada status bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua sehingga Februari lalu.
Dasar Peluang Kedua menyasarkan mengeluarkan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 daripada kebankrapan.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan pemberitahuan pertanyaan bukan lisan Dewan Negara yang dikeluarkan pada 4 April lalu, jumlah 71,186 orang itu mewakili 54.8 peratus daripada sasaran 130,000 individu dikeluarkan daripada bankrap menerusi dasar tersebut.
Status bankrap menyebabkan individu terlibat kehilangan banyak keistimewaan antaranya akaun bank dibekukan dan ditutup, tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan selain tidak dibenarkan ke luar negara sekaligus menyukarkan mereka untuk bangkit kembali.
Mengulas perkembangan itu, Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, mereka yang mendapat pelepasan status bankrap perlu memanfaatkan peluang kedua tersebut untuk memulakan hidup baharu setelah dibelenggu masalah kewangan.
Katanya, mereka boleh memanfaatkan peluang itu dengan mendapatkan pemantauan kewangan oleh pihak ketiga supaya tidak terjebak semula dengan aktiviti kewangan yang tidak sihat.
“Bagi yang dalam senarai juga memerlukan kursus tertentu supaya faham dan tahu apakah kesilapan mereka.
“Selain itu, kerajaan perlu memantau aktiviti kewangan daripada pelbagai pihak yang menyediakan peluang kewangan. Suatu tindakan undang-undang yang keras diperlukan untuk mengelak perkara ini terus berlaku sama ada kepada yang menyediakan platform kewangan atau mereka yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan pemberitahuan pertanyaan bukan lisan Dewan Negara sama, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan, jumlah kes kebankrapan yang ditadbir oleh jabatan itu bagi tempoh empat tahun bermula 2020 adalah sebanyak 25,410 kes.
Statistik juga menunjukkan golongan berusia 35 tahun hingga 44 tahun paling tinggi bankrap, iaitu seramai 9,902 orang atau 38.97 peratus daripada keseluruhan yang diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan.
Selangor pula merupakan negeri paling ramai kes bankrap, iaitu sebanyak 5,830 kes atau 22.94 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan dengan 3,164 kes (12.45 peratus).
Menerusi statistik itu, faktor utama berlakunya kebankrapan adalah disebabkan pinjaman peribadi iaitu sebanyak 18,343 kes (48.97 peratus) daripada keseluruhan kes yang ditadbir pada tahun 2020 sehingga 2023.
Mengulas mengenai statistik itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebanyakan individu dalam lingkungan usia 35 hingga 44 tahun adalah golongan sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen kewangan tinggi.
Kata beliau, antaranya golongan itu perlu menampung kos perbelanjaan isi rumah yang mendorong mereka membuat pinjaman kewangan sehingga termasuk kepada status muflis.
“Pada usia ini, ramai yang telah berkeluarga dan mempunyai komitmen seperti bayaran pinjaman rumah, kereta atau perbelanjaan anak. Jika kewangan peribadi tidak diurus, individu ini berisiko untuk mula tidak membayar hutang,” katanya.
Beliau berkata, kelas pengurusan kewangan yang berkesan perlu diperkenal kepada orang awam disebabkan jumlah penghutang yang semakin tinggi.
“Literasi kewangan boleh dianggap suatu kemahiran untuk hidup. Oleh itu, seseorang perlu memahami bagaimana pembayaran hutang itu dikira dengan mempertimbang prinsipal dan keuntungan pembiayaan.
“Seorang individu perlu faham faktor bayaran hutang itu naik sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) diubah dan pelbagai lagi persoalan yang perlu difahami sebelum seseorang mengambil fasiliti pembiayaan,” katanya.































