Satu daripada helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas ketika melakukan raptai sempena Hari Terbuka Armada TLDM yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Mei ini di Lumut, Perak, semalam. – Gambar Media Sosial
PUTRAJAYA: Laporan awal tragedi dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada 23 April lalu akan didedahkan esok.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, laporan itu akan didedahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin esok.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Pertahanan hari ini (pada mesyuarat Kabinet) telah memberi maklum balas mengenai status laporan awal siasatan nahas itu.
“Beliau (Menteri Pertahanan) memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok. Ia hanyalah laporan awal dan belum lagi laporan keseluruhan,” katanya
Katanya, laporan penuh nahas dijangka siap dalam tempoh dua ke tiga minggu akan datang.
Dalam insiden menyayat hati itu, 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut, Perak.
Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.
Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Mangsa yang maut terdiri daripada Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan, Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun, Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy dan Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar.






























