KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan IMAGO Shopping Mall sebagai penaja lokasi bagi penganjuran Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2024.
Majlis Penyerahan ‘Mock Checque’ bernilai RM200,000 daripada pihak IMAGO Shopping Mall kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Haji Sabin Samitah telah diadakan di Pejabat Mayor, Bangunan DBKK pada pukul 2 petang tadi.
Pihak IMAGO Shopping Mall yang diwakili oleh Dr. Raymond Yu Tat Loong, Pengarah Eksekutif, Asian Pac Holdings Berhad berkata, pengurusan pusat beli-belah IMAGO amat bersukacita untuk sekali lagi menjadi penaja lokasi yang bakal menyaksikan penampilan khas 15 finalis dalam Linundus Kaamatan pada 17 Mei 2024 (Jumaat) pukul 1 petang dan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu pada 18 hb Mei 2024 (Sabtu) pukul 1 petang.
Katanya, kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan di pusat beli-belah itu sudah pasti akan bertambah maknanya dengan penganjuran Linundus Kaamatan dan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau, sekaligus mementaskan keunikan dan kepelbagaian etnik Sabah kepada pelancong dalam dan luar negeri.
Dr. Sabin yang juga selaku Pengerusi Jawatakuasa Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu turut mengundang orang ramai untuk hadir beramai-ramai bersama keluarga menyaksikan perjalanan kedua-dua acara berprestij ini, yang bakal berlangsung di The Oval, Ground Floor Centre Atrium, IMAGO KK Times Square.
Penglibatan IMAGO Shopping Mall sebagai rakan strategik dan penaja lokasi Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun ini merupakan penglibatan kali kedua, setelah penganjuran kali pertama di pusat beli-belah itu diadakan pada tahun 2023.
Turut hadir menyaksikan penyerahan ‘mock checque’ ini adalah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan) DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program dan Dr. Benedick Oliver Lidadun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat (JHEK) DBKK selaku Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Program serta pegawai-pegawai kanan Asian Pac Holdings Berhad iaitu Jing Feifei, Pengurus Besar; Intan Hafiona Al Hafiz, Pengurus Pemasaran dan Ahmad Hisyamuddin Ahmad Shafiuddin, Eksekutif Pemasaran.






























