KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menggunakan kamera badan dalam operasi harian tidak lama lagi selepas penghantaran pertama peralatan tersebut dijadualkan bermula Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta pelaksanaan penggunaan kamera badan dalam operasi harian PDRM disegerakan tanpa menunggu sehingga ke tahun depan.
“Bajet sudah lama tersedia namun proses perolehan telah berubah-ubah beberapa kali,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama 14 syarikat tempatan bernilai RM2.1 bilion membabitkan perolehan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Majlis tersebut diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.
Saifuddin berkata, beliau sudah pun meminta untuk diselesaikan segera penghantaran kamera badan tersebut dan jangkaan perolehannya mengikut garis masa ditetapkan.
“Penghantaran pertama harus berlaku dalam bulan Jun tahun ini juga,” katanya.
Pada 21 Februari, Saifuddin dilaporkan berkata sebanyak 7,648 kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis yang dianggarkan bernilai antara RM2,000 dan RM2,500 setiap satu.
Perolehan kamera badan tersebut adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Ia akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat.






























