Rakaman foto yang tersebar dalam media sosial memaparkan Faisal Halim selepas disimbah asid.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan menyeluruh mengenai termasuk motif kes simbah cecair asid membabitkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, sumber berkata, pihaknya telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Kata sumber, penelitian itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dilakukan dua individu yang menunggang motosikal sebelum mendekati mangsa.
“Pemeriksaan mendapati motosikal dan nombor pendaftaran milik suspek sama dengan kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.
“Siasatan turut mendapati nombor plat nombor digunakan bukan palsu. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan daripada setiap sudut bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ditanya sama ada Faisal sebelum ini pernah menerima ugutan, sumber berkata, pihak polis masih menyiasat perkara terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah reman terhadap lelaki berusia 20-an itu selama dua hari sehingga hari ini di Mahkamah Petaling Jaya.
Kata beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek lain yang terlibat.
“Kita telah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal). Polis juga akan mengambil keterangan beberapa saksi bebas yang lain bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Media semalam melaporkan Faisal kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Hussein dilaporkan berkata, polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan 999 bahawa seorang pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair dipercayai asid.
“Kes disiasat Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam tular dalam laman media sosial gambar pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis belum dapat mengesahkan sama ada kejadian menimpa Faizal mempunyai kaitan dengan serangan terhadap seorang lagi pemain bola sepak yang mewakili Terengganu FC, Akhyar Rashid, yang turut diserang dan disamun di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
“Kami (polis) berharap supaya mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kejadian ini sehingga siasatan sedang dilengkapkan.
“Pada masa ini Polis Selangor sudah merakam keterangan dari tiga individu termasuk Faizal selain akan memanggil beberapa lagi saksi bebas,” katanya ketika ditemui di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 di Kuala Lumpur.
Beliau turut menafikan bahawa kononnya kes serangan terhadap Faizal dan Akhyar mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.
“Seperti yang saya tegaskan, mana-mana pihak untuk tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
































