Hamidin Mohd. Amin
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui beliau masih mempunyai misi yang belum selesai yang perlu dilunaskan.
Bagaimanapun, jika khidmatnya tidak diperlukan lagi bersama badan induk itu, Hamidin melihat hanya Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai calon tunggal yang betul-betul layak.
Hamidin berkata, misi yang dimaksudkan hanya bukan sahaja mahu melihat Harimau Malaya terus gah, tetapi secara menyeluruh termasuk ekosistem dan kemudahan pembangunan bola sepak di Malaysia.
“Saya sentiasa terbuka jika ada mana-mana tokoh mahu bertanding untuk merebut jawatan berkenaan pada kongres pemilihan FAM yang akan datang, kita tidak boleh lari daripada statut ataupun perlembagaan.
“Jadi sesiapa sahaja boleh bertanding apabila tiba masanya nanti. Namun, jika tanya saya siapa yang layak menjadi Presiden FAM seterusnya, jawapan saya adalah hanya TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang layak.
“Memegang jawatan ini (Presiden FAM) memerlukan komitmen yang sangat tinggi, pengetahuan, pengaruh dan kemampuan. Perkara ini hanya TMJ sahaja yang ada, dia sudah buktikan di JDT (Johor Darul Ta’zim).
“Bagi saya, ada misi yang belum tertunai, bukan sahaja mahu melihat Harimau Malaya terus meningkat tapi melibatkan banyak perkara seperti Wisma FAM baharu dan merealisasikan NTC (Pusat Latihan Kebangsaan).
“Jika nanti (pemilihan) masih ada pencalonan dan orang mahu saya meneruskan (perkhidmatan), saya akan teruskan (pegang jawatan Presiden FAM) dan saya akan buat sehabis baik,” katanya, kepada Utusan Malaysia.
Ditanya lebih lanjut tentang Tunku Mahkota Ismail, Hamidin berkata, ketika pemilik JDT itu memegang jawatan sama di FAM, situasi sangat berbeza dengan apa yang berlaku ketika ini khususnya sokongan.
Untuk rekod, Hamidin sebelum ini mengambil alih kepimpinan FAM daripada Tunku Mahkota Ismail dalam Kongres Ke-54 ketika pemilihan penggal 2018-2021 FAM pada 14 Julai 2018 dan mengekalkan jawatan itu juga tanpa dicabar bagi penggal 2021-2025 pada tanggal 13 Mac 2021.
































