Erik Ten Hag
MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag berminat untuk kembali ke kelab lamanya, Ajax sekiranya dipecat oleh The Red Devils pada musim panas ini.
Menurut Utusan Malaysia, ketika ini, pengendali dari Belanda itu berdepan tekanan di pelbagai peringkat semasa musim keduanya menerajui Old Trafford kerana gagal memberi impak yang diharapkan.
Biarpun layak ke final Piala FA dua kali berturut-turut, Ten Hag dilihat gagal untuk membawa United memberi cabaran di Liga Perdana Inggeris (EPL) semasa era kejurulatihannya.
Untuk musim ini, United juga berisiko terlepas kelayakan Liga Juara-Juara selain tersingkir di pertandingan yang sama pada peringkat kumpulan pada Disember tahun lalu.
Berdasarkan laporan, beberapa nama telah dikaitkan dengan United termasuk Thomas Tuchel sekiranya mereka memilih untuk menggantikan Ten Hag akhir musim ini.
Bekas kelab Ten Hag, Ajax, mengharungi musim 2023-24 yang menyedihkan, ketinggalan kepada juara PSV Eindhoven dengan 35 mata dengan kelab itu turut dilanda masalah di luar padang membabitkan kakitangan eksekutifnya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Alex Kroes menguruskan pelantikan ketua jurulatih baharu mereka dengan Ten Hag dianggap sebagai sasaran utamanya.
Bagaimanapun, Ten Hag sebelum ini menegaskan dia tidak berhubung dengan gergasi Belanda itu mengenai kemungkinan kembali mengendalikan kelab berkenaan.
“Saya menandatangani kontrak dan saya bukanlah seorang yang akan pergi. Jadi saya menganggap bahawa saya akan berada di United musim depan” kata Ten Hag.
Dalam masa yang sama, Ten Hag tidak menyembunyikan minat untuk kembali menyertai bekas kelabnya itu sekiranya mendapat tawaran.
“Ya, mengapa tidak? Saya mengalami tempoh yang sangat baik di Ajax,” kata Ten Hag ketika ditanya jika beliau melihat kemungkinan kembali ke Amsterdam.
https://www.utusan.com.my/premium/2024/05/ten-haq-mahu-kembali-ke-ajax/


































