KUALA LUMPUR : Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Puchong Mesra, di sini, awal pagi tadi turut menahan seorang bekas pemain import Liga Super warga Afrika.
Menurut Utusan Malaysia, pemeriksaan awal terhadap lelaki berusia 34 tahun itu mendapati beliau hanya memiliki pas pekerja yang tamat pada tahun 2019 dan tidak mengikat kontrak sebagai pemain bola sepak dengan mana-mana pasukan setakat ini.
Hasil serbuan itu mendapati, aktiviti koloni warga Afrika di bahagian belakang lorong premis berkenaan telah mengganggu ketenteraman awam penduduk berdekatan.
Antara kegiatan mereka adalah berkumpul beramai-ramai, minum minuman keras, menghisap shisha dan membuat bising bermula tengah malam sehingga awal pagi.
Ketika serbuan dilakukan, puluhan warga Afrika bertempiaran lari hingga sanggup terjun longkang yang busuk sedalam tiga meter dan berlari sepanjang laluan itu bagi elak dicekup.
TIdak terhenti disitu, ada diantara mereka melakukan provokasi sentimen warna kulit selepas ditahan selain enggan mengikut arahan yang diberikan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, seramai 22 warga Afrika ditahan termasuk dua kanak-kanak menerusi Op Kutip yang dilaksanakan bermula pukul 11.30 malam hingga pukul 3 pagi tadi.
“Tangkapan membabitkan warga Sierra Leon (tujuh), Liberia (satu), Nigeria (tujuh), Ghana (tiga), dan Amerika Syarikat (tiga).
“Hasil risikan selama satu bulan dilakukan selepas mendapat aduan orang awam berhubung kegiatan tidak bermoral dan mengganggu ketenteraman awam disini,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.
































