Hajiji menandatangani plak tiga bangunan di Kampung Damat, Tamparuli.
TAMPARULI: Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan kemudahan asas kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar supaya mereka juga dapat menikmati kemajuan dan pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Berucap pada majlis pelancaran Surau, Dewan Terbuka dan Pusat Komuniti di Kampung Damat di sini hari ini, Hajiji gembira menyedari bahawa inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya membuahkan hasil.
Beliau berkata, menerusi Hala.Tuju SMJ, ekonomi Sabah kini pulih berikutan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 lebih tiga tahun lalu.
“Ini terbukti berdasarkan kejayaan yang kita capai walaupun pihak pembangkang masih cuba menafikannya. Saya mengharapkan mereka memberi kritikan yang membina dan tidak menyebarkan pembohongan yang tidak berasas,” katanya.
Kerajaan Negeri telah mencapai banyak kejayaan dalam menarik pelabur dan hari ini kapasiti dua taman perindustrian kita – Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang hampir penuh, tegasnya.
“Bagi menyelesaikannya, Kabinet Negeri telah meluluskan dua taman perindustrian baharu di Kimanis dan satu lagi antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk menempatkan lebih ramai pelabur yang ingin melabur di Sabah,” katanya.

Hajiji memalu gong sebagai simbolik pembukaan tiga bangunan di Kampung Damat, Tamparuli.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah dan usaha intensif sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu-isu warisan seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya.
Sehubungan itu, beliau memuji Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Damat atas penyiapan ketiga-tiga bangunan itu yang amat diperlukan penduduk kampung.
Beliau berkata, pembinaan bangunan yang menelan belanja RM450,000 itu juga membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat di sini.
“Ia selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat di seluruh negeri akan menikmati pembangunan dan kemajuan,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan Pusat Komuniti, sebuah pusat aktiviti untuk komuniti Kristian Kampung Damat, bersebelahan dengan Surau baharu itu melambangkan keunikan keharmonian agama di Sabah.
Beliau turut menyeru masyarakat setempat untuk memaksimumkan penggunaan kemudahan tersebut untuk manfaat semua.
































