PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan minat Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri KBS, Hannah Yeoh berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi melihat kemampuan negeri itu menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan terbabit.
“Perkara ini masih dalam pertimbangan dan dalam kajian. Hal ini kerana banyak faktor yang perlu kita ambil tahu dari segi dana kewangan negeri dan persekutuan termasuk fasiliti sukan.
“Kami masih dalam proses memperhalusi perkara ini. Jadi kami perlu membuat keputusan yang wajar supaya tidak terkesan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merayu kepada KBS agar Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Sementara itu, Hannah turut mendedahkan bahawa Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang menyuarakan minat untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
“Sebab utama Sarawak menaruh minat mereka kerana mereka melabur untuk menaik taraf fasiliti sukan berikutan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Bagaimanapun, dua temasya sukan ini amat berbeza. Banyak hal dan perkara perlu diambil kira dan dipertimbangkan seperti hotel yang mencukupi untuk penginapan atlet,” kata Hannah.
Sebelum ini, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) menghubungi MOM bagi menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 berikutan Brunei menarik diri sebagai penganjur.
Untuk rekod, Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang mana Malaysia muncul juara keseluruhan pada acara sukan terbabit.
































