KUALA LUMPUR : Mana-mana wang pelabur yang menyertai skim penipuan pelaburan tidak akan dapat dikembalikan walaupun melalui proses perundangan.
Berdasarkan laporan pada 24 April lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengarahkan wang tersebut dilucut hak kepada hasil kerajaan.
“Berdasarkan hujahan, wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram, oleh yang demikian wang yang didepositkan oleh pihak ketiga turut dicemari.
“Jadi, responden tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Beliau berkata, bukti menunjukkan mereka (pelabur) secara sukarela dan tanpa paksaan telah mendepositkan wang ke akaun yang diarahkan untuk menjadi pelabur dalam skim VenusFX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan tersebut.
Tegas Ramli, polis mengingatkan orang ramai bahawa keputusan ini menunjukkan tindakan segelintir individu yang membuat pelaburan di dalam skim pelaburan tidak sah hanya akan mengakibatkan mereka mengalami kerugian yang lebih besar.
“Kerugian wang yang dialami tidak akan dapat dikembalikan walaupun melalui proses perundangan,” ujarnya.
































