PETALING JAYA: Tanggal 23 Jun ini akan menjadi detik penuh debar buat dua penerjun negara negara, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang sama ada tersenarai ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, Nur Dhabitah dan Tze Liang ketika ini berada pada senarai berkemungkinan layak untuk beraksi Paris pada Julai depan.
“Masih ada peluang tetapi sangat tipis. Kalau ada yang menarik diri, boleh masuk. Apa pun, peluang itu sangat tipis. Sekiranya dapat, ia satu bonus besar buat kita,” kata Andy bagi mengulas peluang dua penerjun negara itu mengiringi Bertrand Rhodict Lises ke Kota Paris.
Ketika ini, Bertrand adalah satu-satunya penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi acara 10 meter (m) platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lalu
Pengumuman senarai akhir penyertaan atlet terjun pada temasya itu akan di putuskan oleh World Swimming pada 23 Jun ini dan sekiranya ada penarikan diri daripada atlet negara lain, dua penerjun negara itu mempunyai peluang untuk ke Paris.
Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan seramai 18 atlet kebangsaan daripada tujuh jenis sukan layak ke Paris 2024.
Katanya, menjelang tarikh tutup pada penghujung Jun ini, pihaknya menjangkakan kira-kira 10 lagi atlet akan layak ke edisi ke-33 itu yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Beliau merangkumkan 18 atlet yang sudah layak termasuk dari sukan badminton yang belum dikeluarkan senarai rasmi daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang hanya akan mengeluarkan senarai rasmi pada 10 Mei depan.
Setakat ini, kontinjen negara sudah disertai 10 atlet iaitu tiga atlet berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izaati Mohd Asri; atlet berbasikal lebuhraya, Nur Aisyah Mohd Zubir; dua pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif; atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan; penembak negara, Johnathan Wong; pemanah, Ariana Nur Dania Mohd Zairi dan penerjun, Bertrand Rhodict Lises.
Lapan atlet terbaharu yang bakal mengesahkan slot ke temasya berprestij itu adalah daripada kem badminton negara iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), selepas ranking kelayakan berakhir.
































