Siti Bainun Ahd. Razali
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi berpendirian, 18 kecederaan dan parut pada badan remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella bukan akibat kemalangan, perbuatan sendiri atau cerita rekaan saksi-saksi pendakwaan.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Datuk Noorin Badaruddin berpendapat, kecederaan itu bukan terhasil oleh satu insiden sahaja sebaliknya berlaku pada masa-masa yang berbeza kerana terdapat kecederaan yang telah sembuh.
“Kecederaan yang dialami oleh mangsa yang merupakan kanak-kanak istimewa menjurus kepada satu kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh seorang pelaku,” ujar beliau ketika menolak rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.
Sehubungan itu, Hakim Noorin mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadapnya atas dua kesalahan mengabai dan menganiaya Bella, tiga tahun lalu.
Mahkamah turut menolak permohonan peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Dia menjalani hukuman penjara genap setahun.
Ketika membacakan keputusan itu, beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah membuat penilaian maksimum terhadap saksi-saksi pendakwaan iaitu saksi mata, Yasmin Nahar Mahmood (bekas penghuni Rumah Bonda) yang juga saksi pendakwaan kelima (SP5).
Ujar beliau, selain keterangan SP5, keterangan SP8, Suhana Zam (rakan baik Siti Bainun) turut disokong oleh keterangan perubatan yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan akibat kemalangan.
“Sukar untuk membuat dapatan bahawa kedua-dua saksi ini mereka-reka cerita. Mangsa kanak-kanak istimewa dan keterangan saksi-saksi secara keseluruhannya melengkapkan naratif kes pendakwaan bahawa mangsa telah diabaikan dan dianiaya sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi,” ujar beliau.
Hakim Noorin selanjutnya berkata, mahkamah mendapati pembelaan perayu bahawa mangsa hanya mengalami sekali kelecuran adalah berlawanan dengan naratif dan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Ujarnya, keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar adalah konsisten sedangkan keterangan perayu dan saksi perayu mengenai insiden tumpahan air panas yang dikatakan berlaku hanya sekali, adalah bercanggah.
Mahkamah turut berpendirian, nota keterangan tidak menunjukkan sebarang keterangan dan keadaan bahawa perayu terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya yang mengakibatkan perayu tidak berupaya untuk membela diri.
Menurut hakim berkenaan, perayu telah diberikan notis mencukupi melalui pertuduhan yang dikemukakan sejak dari awal dan dia berupaya memahami kes dan bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Ditemui wakil media selepas prosiding, peguam pemerhati Datuk Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkata, Bella masih trauma walaupun kecederaan dialaminya sudah pulih.
Menurut peguam berdasarkan ujian klinikal, Bella kini 17 tahun dan pihaknya memohon supaya Jabatan Pendaftaran Negara memberi maklum balas mengenai status kad pengenalan Bella yang dipohon oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Siti Bainun merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan oleh Hakim Izralizam Sanusi pada 3 Mei 2023.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
































