MANCHESTER: Penyerang England, Marcus Rashford dilaporkan menentang sebarang percubaan Manchester United untuk menjualnya pada musim panas ini.
Ia susulan beberapa laporan tentang hasrat United untuk menjual beberapa pemain utama kelab itu seperti Kobbie Mainoo, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho dengan Rashford salah seorang yang berisiko termasuk dalam senarai tersebut.
Semuanya berlaku selepas pemegang saham utama United, Sir Jim Ratcliffe mahu melakukan rombakan secara besar-besaran dan mengembalikan zaman kegemilangan kelab itu selepas mengharungi kempen musim ini yang mendukacitakan.
Rashford bergelut dengan prestasi pada musim ini dan menjadi potensi untuk dijual, memandangkan dia boleh memberi keuntungan berdasarkan status penyerang itu yang merupakan graduan daripada akademi United.
Bagaimanapun, penyerang berusia 26 tahun itu yang dilaporkan bernilai 80 juta pound (RM478.61 juta) menentang sebarang usaha United untuk menjualnya.
Rashford menjaringkan 131 sepanjang beraksi Bersama United dilihat sering kali diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam sebahagian besar perlawanan musim ini walaupun beliau bergelut dengan masalah prestasi.
Beliau hanya menjaringkan lapan gol daripada semua kejohanan musim ini turut terpalit dengan isu disiplin apabila dilihat berhibur di sebuah kelab malam selepas United tewas 0-3 kepada Manchester City.
United kembali beraksi pada Isnin depan apabila bakal bertandang ke Crystal Palace dalam aksi liga berharap dapat menamatkan saingan liga dalam kelompok enam pasukan terbaik musim ini.
































